Melihat kepada perkembangan positif serta jumlah vaksinasi yang pantas di Malaysia, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menjangkakan pulau peranginan utama negara seperti Langkawi, Pangkor, Redang, Tioman dan Perhentian dijangka dibuka semula awal bulan depan.
Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata bagaimanapun perkara itu tertakluk kepada keputusan kerajaan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) semasa yang akan ditentukan.
“Cadangan pembukaan semula sektor pelancongan hendaklah dilaksana dengan teliti dan berhati-hati bagi mengelak berlakunya penularan pandemik COVID-19 dan menyebabkan penutupan semula dibuat. Pada masa sama, MOTAC sedang mengemas kini dan menyiapkan SOP berkaitan sektor pelancongan,” katanya.
Menurut Nancy, beliau telah mengadakan perbincangan secara maya dengan 15 wakil persatuan dalam kalangan penggiat industri pelancongan untuk mereka melakukan persediaan rapi sekiranya sektor pelancongan mula beroperasi dalam masa terdekat.
Beliau berkata sesi libat urus itu selaras dengan pengumuman khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengenai kemudahan bagi individu yang telah menerima vaksin lengkap dengan membenarkan aktiviti pelancongan dalam negeri melibatkan hotel dan inap desa.
SUMBER: BERNAMA
Photo by Gaddafi Rusli on Unsplash