Rebat 100 % bil elektrik untuk yang terkesan banjir

Kongsikan Artikel ini

Rebat 100 peratus secara one-off bil elektrik bulan Disember diberikan kepada mangsa banjir…

HULU LANGAT – Rebat 100 peratus secara one-off bil elektrik bulan Disember diberikan kepada mangsa banjir bagi meringankan beban mereka, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, sebanyak 72,000 pelanggan domestik terjejas akan menerima manfaat daripada rebat yang akan diberi Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan ini tidak melibatkan kilang atau industri.

“Saya juga telah minta TNB untuk membantu kediaman milik B40 yang terjejas akibat banjir apabila bekalan elektrik disambung semula,” katanya.

Kredit Majoriti

Sejak Jumaat lepas, syarikat utiliti itu telah melaksanakan kerja pemeriksaan pendawaian percuma di rumah terjejas banjir di sekitar Selangor, Pahang dan Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) akan menyediakan servis menunda kenderaan secara percuma bagi kenderaan Perodua berdasarkan insurans kenderaan itu.

Tambahnya lagi, bayaran upah buruh untuk membaiki dan servis kenderaan yang dihantar ke pusat servis Perodua adalah percuma dan bayaran alat ganti pula diberikan diskaun 50 peratus.

“Saya difahamkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan berunding lagi dengan syarikat-syarikat kereta yang lain seperti Proton (Proton Holdings Bhd) dan sebagainya.

“Saya harap syarikat-syarikat lain boleh mengikut apa yang dilakukan oleh Perodua dan kalau lebih baik daripada itu pun kami mengalu-alukan,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau kerja-kerja pembersihan pascabanjir di Taman Sri Nanding dan Kampung Dusun Tua, di sini pada Ahad.

Beliau turut mengumumkan penambahan peruntukan bagi membaiki kerosakan kediaman dan infrastruktur akibat banjir sebagai tambahan kepada peruntukan awal RM100 juta.

Ditanya mengenai cadangan permohonan Bantuan Wang Ihsan dibuat secara dalam talian, beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam Pasukan Petugas Khas dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali yang akan mengadakan mesyuarat pertama pada Isnin.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, 332 anggota tentera dikerah ke Maran, Raub, Temerloh, Jerantut dan Kuala Lipis untuk membantu proses pembersihan pascabanjir manakala 213 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut digerakkan bagi tujuan sama.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju memberi Bantuan Wang Ihsan kepada semua mangsa banjir sebanyak RM1,000, sumbangan RM10,000 kepada waris mangsa banjir yang meninggal dunia selain layak memohon pembiayaan Kewangan Peribadi tanpa faedah sehingga RM5,000 oleh Bank Simpanan Nasional (BSN).

Selain itu, TEKUN Nasional telah mengkhususkan dana berjumlah RM30 juta untuk Pinjaman Pemulihan Banjir bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas akibat bencana banjir dan bagi pinjaman sehingga RM10,000, tiada kadar faedah dikenakan dan moratorium bayaran balik diberikan untuk 12 bulan. Bernama.

Kredit | SinarHarian

Facebooktwitterlinkedininstagramflickrfoursquaremail
Posted on

Leave a Reply

Your email address will not be published.