Search tampil persembahan bertenaga walau tanpa Amy

Kongsikan Artikel ini

Kumpulan rock legenda tanah air, Search tampil bertenaga dalam konsert terbaru ‘Search Rockin Rooftop’ di Kompleks Campbell Jalan Dang Wangi, malam tadi.  Search yang dibarisi Kid (Gitar Utama), Din (Gitar Kedua), Yanto (Bass), Minn (Drum) dan penyanyi baharu mereka dari Indonesia, Denden Gonjalez berjaya memukau lebih 3.000 peminat dengan persembahan bertenaga.


Walaupun persembahan bermula sedikit lewat iaitu 9.45 malam berbanding waktu asal 9.00 malam, berikutan hujan, lontaran suara Denden dengan lagu pembuka Bencana, Metropolitan dan Pasti disambut sorakan daripada peminat-peminat yang berkumpul sejak jam 8 lagi.

Search – Live in concert June 11 ‘Search Rockin Rooftop’ di Kompleks Campbell Jalan Dang Wangi.

Ternyata ketiadaan Amy yang mengundur diri sejak dua tahun lalu tidakpun menjejaskan persembahan mereka malah penyanyi baharu Denden berjaya membawa 17 lagu hits Search dengan bertenaga antaranya Melastik ke Bintang, Di Pintu Sepi, Fantasia Bulan Madu dan Mentari Merah Di Ufuk Timur.

Konsert yang berlangsung lebih 2 jam itu menghidangkan 17 buah lagu meliputi Album Fenomena, Rampage, Karisma, Rock N Roll Pie, Mentari Merah di Ufuk Timur, Langit dan Bumi serta Gema Timur Jauh.


Petikan gitar adik beradik, Kid dan Din yang memperlihatkan Search sememangnya berada di kelas yang tersendiri meski kini berlainan vokalis asalnya.

Pada konsert itu juga, ratu Rock Ella turut sama meriahkan persembahan sebagai penyanyi undangan dengan menyampaikan dua buah lagu ‘Melayar Bahtera’ dan ‘Bayangan’ berduet bersama Denden.

Rata-rata peminat yang hadir terhibur dan bernyanyi bersama-sama sepanjang konsert berlangsung. Rakan artis juga turut hadir memberikan sokongan antaranya Datuk Hattan, Tam Spider, Datuk Ramli Sarip, Ritz Metalasia termasuk Datuk M. Nasir yang menaikkan kumpulan itu sejak era 80-an hingga kini.

Ujar Kid selepas tamat persembahan kepada Mstar, Search amat berterima kasih atas sokongan yang diberikan pada konsert mereka ini. Beliau juga turut memuji abangnya Din yang sentiasa memperjuangkan legasi Search selama ini. Sumber Mstar, berita RTM.

Facebooktwitterlinkedininstagramflickrfoursquaremail
Posted on

Leave a Reply

Your email address will not be published.