Sebenarnya Manusia Hanyalah Insan Hina Yang Merasakan Dirinya Mulia

Kuali itu jika diletakkan di tempat mana pun dan di dalam keadaan apa pun, ia tetap kuali. Kuali itu tetap hitam legam. Beralih tempat dan suasana pun, ia tidak akan mengubah hakikatnya.

Manusia itu hina

Kuali tetaplah kuali, ia tidak akan jadi intan berlian. Letak di dapur pun kuali, letak di serambi pun kuali, sekalipun di pelamin, tempat yang indah dan mempesona, ia tetap juga kuali.

Begitulah juga manusia, tetap sekadar hamba Allah, di mana pun dia berada. Di dalam suasana apa pun manusia berada, dia tetap hamba.

Ia tidak akan bertukar menjadi makhluk lain. Hamba tetap hina, hamba tetap lemah, hamba memerlukan pertolongan dan bantuan.

Kalau dia petani, tetap juga hamba. Jika dia guru, tetap juga ia seorang hamba. Walaupun dia seorang kaya, ia tetap juga hamba yang hina. Sekalipun dia raja, menteri dan orang besar, nama hamba tidak akan berubah.

Jika dia menteri, dia adalah salah seorang, orang besar hamba-hamba. Orang kaya pun hamba yang kaya di kalangan hamba.

Tapi manusia hamba Allah itu sungguh pelik.

Bila jadi raja atau menteri, orang besar atau kaya, mereka sudah berpelajaran. Berubah sikap dan bertukar watak hidup. Dia pun merasa luar biasa, ego dan sombong. Orang lain lalu dipandang hina.

Inilah dia hamba-hamba yang tidak sedar diri. Sangat hina kerana berasa mulia.

Renung-renungkanlah.

Leave a Comment