Selepas potong gaji, Pique mungkin dibuang

Kongsikan Artikel ini


BARCELONA: Biarpun sudah menerima pemotongan gaji besar-besaran, tonggak pertahanan yang setia bersama Barcelona sejak 14 tahun lalu, Gerard Pique berdepan risiko ditamatkan kontrak hujung musim ini.

Pemain antarabangsa Sepanyol itu mungkin terpaksa disingkirkan bagi membolehkan majikannya menandatangani tujuh pemain baharu ketika mereka masih bergelut dengan masalah kewangan.

Menurut media Sepanyol, pengurus Barcelona me­rangkap bekas rakan sepasukannya, Xavi menasihatkan Pique agar berundur diri lebih awal, namun pemain berusia 35 tahun itu masih mahu kekal dan membantu pasukannya.

Pique juga dilaporkan bersedia untuk beraksi secara percuma tanpa dibayar gaji, namun dihalang pengurusan La Liga kerana perkara tersebut tidak dibenarkan.

Seandainya Pique tidak turun beraksi lebih daripada 35 peratus daripada perlawanan Barcelona musim ini, maka pasukan boleh menamatkan kontraknya yang sepatutnya berakhir pada 2024.

Keadaan semakin sukar apabila dia perlu bersaing dengan beberapa pemain seperti Jules Kounde, Ronald Araujo, Andrea Christensen dan Eric Garcia di benteng pertahanan tengah.

Walaupun Barcelona sudah pun mengharungi lima perlawanan La Liga serta satu saingan Liga Juara-Juara, Pique hanya beraksi selama 45 minit pada babak pertama menentang Viktoria Plzen, Rabu lalu, sebelum digantikan oleh Sergi Roberto.

Pique telah beraksi dalam lebih 600 perlawanan untuk Barcelona dan membantu kelab Catalan itu memenangi 30 kejuaraan sepanjang perkhidmatannya sejak 2008. – AGENSI





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *