JOHOR BARU – Tan Sri Shahrir Abdul Samad mengesahkan beliau tidak akan bertanding pada pemilihan parti akan datang termasuk jawatan ketua Umno Bahagian Johor Bahru yang disandangnya ketika ini.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan pendirian Shahrir selepas mempengerusikan mesyuarat khas Umno Johor di bangunan Umno di sini hari ini.
Beliau berkata Umno Johor menghormati keputusan Shahrir yang tidak mempertahankan jawatan yang dipegangnya selama 40 tahun.
“Beliau tidak lagi berada dalam jawatankuasa perhubungan Umno Johor selepas ini. Kami merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan atas sumbangan beliau kepada Umno Johor,” kata Khalid dalam sidang media selepas mesyuarat khas itu hari ini.
Shahrir menjelaskan, ketika ditemui pemberita, beliau mengambil keputusan itu demi menumpukan hal ehwal peribadi.
“Keputusan ini membolehkan saya hanya menjadi ‘Shahrir’ semula. Saya tidak pasti sama ada saya masih akan aktif di media sosial (Facebook Tok Uban),” katanya.
Tegasnya, keputusan itu tidak dipengaruhi oleh kes mahkamah yang dihadapinya.
Pada 5 Jan lepas, Shahrir yang juga Pengerusi Felda dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Sumber dipetik:
sinardaily[dot]my