
Kenapa mata itu penting kepada manusia? Mata adalah salah satu organ penting bagi kehidupan manusia. Mata berfungsi sebagai organ untuk melihat warna warni dunia dan berinteraksi secara sosial dalam kehidupan bermasyarakat. Oleh kerana itu kesihatan mata perlu diambil kira sebagai salah satu daripada penjagaan kesihatan.
Bagi memastikan kita dapat menikmati penglihatan yang baik dan berpanjangan, kita perlu menitikberatkan soal kesihatan mata dan menjaga keseluruhan fungsi penglihatan. Kita perlu mendapatkan pemeriksaan mata secara berkala untuk memastikan fungsi penglihatan adalah baik.
Berikut kami kongsikan beberapa tip penjagaan kesihatan mata buat anda.
1) Jarak ideal ketika membaca
Apakah jarak yang ideal ketika membaca? Jarak yang sesuai atau disarankan adalah antara 30cm hingga 40cm dari buku ke mata. Jarak yang terlalu dekat akan menyebabkan otot-otot mata menegang untuk memfokus. Hal ini boleh mengakibatkan sakit kepala.
2) Posisi badan ketika membaca
Posisi badan hendaklah sentiasa menegak. Jangan membaca sambil berbaring. Hal ini akan menyebabkan otot-otot mata terpaksa bekerja lebih untuk menfokus pada bahan bacaan. Mata akan menjadi cepat letih dan tidak dapat bertahan lama untuk membaca.
3) Elakkan membaca ketika dalam kenderaan bergerak.
Membaca ketika berada di dalam kenderaan yang bergerak serta keadaan jalan yang rata atau bengkang-bengkok boleh menyebabkan sakit kepala dan mabuk. Hal ini berlaku kerana keupayaan mata untuk memfokus menjadi tidak stabil ketika membaca.
4) Berikan pencahayaan secukupnya ketika membaca.
Cahaya yang mencukupi amat penting ketika membaca. Pastikan pencahayaan yang digunakan tidak terlalu malap atau terlalu terang ketika membaca kerana akan mengganggu keselesaan dan kesihatan mata.
Baca Juga : Betul ka kerap bersama punca utama lelaki berperut buncit.
Pemakanan baik untuk mata.

Pemakanan yang betul memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan mata dan dapat mencegah daripada penyakit mata. Mata juga memerlukan nutrisi yang baik untuk berfungsi dengan baik. Pastikan makanan seharian yang diambil kaya dengan vitamin A & C – seperti susu, sayur-sayuran seperti lobak, tomato dan brokoli serta buah-buahan seperti aprikot dan anggur.
Amalan Senaman Untuk Mata
1) Caranya adalah anda pergi ke luar rumah, lihat satu objek berdekatan dengan anda, kemudian beransur-ansur melihat pula objek yang lebih jauh, sejauh yang mungkin. Selepas itu lihat semula objek yang berdekatan anda. Ulangi proses ini beberapa kali.
2) Gerakkan mata anda ke kanan semaksimum mungkin, berhenti sekejap, kemudian ke kiri, berhenti sekejap, seterusnya ke atas, bawah dan tengah. Ulangi proses ini beberapa kali.
3) Jika anda selalu bekerja di hadapan komputer, disyorkan berehat sebentar selepas 1 hingga 2 jam berada di hadapan computer. Caranya adalah dengan melihat objek yang berwarna hijau di luar rumah atau di luar pejabat anda, seperti pokok dan sebagainya. Warna hijau akan dapat menenangkan dan merehatkan mata anda.
Tip Penggunaan Komputer
Berikut sekadar panduan penjagaan kesihatan mat ajika anda kerap menggunkan komputer.
1) Kedudukan skrin computer. Pastikan kedudukan komputer sama paras dengan mata dalam keadaan horizontal dan 30 cm dari mata.
2) Berikan pencahayaan yang bersesuaian. Keletihan pada mata akibat penggunaan komputer berlaku apabila terdapat cahaya yang berlebihan dari sumber luar (matahari) dan lampu di dalam rumah atau pejabat. Pastikan pencahayaan di sekeliling komputer separuh lebih malap daripada cahaya lampu yang digunakan di rumah dan pejabat. Gunakan lampu pejabat atau bilik yang mempunyai intensiti yang bersesuaian.
3) Kurangkan silau. Keletihan mata akibat silau dari sumber cahaya boleh terjadi akibat pembalikan cahaya dari permukaan dinding, skrin komputer dan sebagainya. Sebolehnya elakkan penggunaan dinding bilik yang berwarna terang, seperti putih dan gunakan skrin komputer yang mempunyai penapis cahaya. Bagi pemakai cermin mata, pastikan kanta anda mempunyai ‘Anti-Reflection Coating’ (Multicoating) untuk meminimakan kesan silau pada mata sekaligus mengurangkan stres pada mata.
4) Kelipkan mata dengan kerap. Kekurangan kelipan mata akan menyebabkan air mata menyejat dan mengakibatkan mata tidak mempunyai lapisan perlindungan. Fenomena ini disebut mata kering (Dry Eye).
Jika perlu, gunakan ‘artificial tears’ untuk membasahkan mata apabila terasa kering dan berpasir. Keadaan mata kering ini boleh menjadi semakin teruk apabila berada dalam bilik atau pejabat yang berhawa dingin.
5) Rehatkan pandangan mata. Setelah otot-otot penglihatan memfokus lama pada skrin komputer, rehatkan otot-otot terbabit dengan cuba memandang objek jauh seketika setiap 20 minit. Ini dapat mengurangkan kesan stres pada bebola mata anda.
6) Memakai Cermin Mata Hitam (Sunglasses). Cermin mata hitam atau sunglasses ialah cermin mata yang memberikan perlindungan sinaran Ultra Violet (UV) daripada cahaya matahari. Pastikan anda mendapatkan nasihat daripada optometris ketika memilih cermin mata hitam yang sesuai dengan anda. Cermin mata hitam yang baik adalah yang dapat menapis dan memberi perlindungan sebanyak 99-100% UVA dan UVB daripada cahaya matahari. Sinaran UV boleh menyebabkan katarak.
Walaupun adanya tip dan saranan dalam penjagaan mata, namun anda perlu membuat pemeriksaan mata secara berkala setahun sekali bagi memastikan tahap penglihatan dan kesihatan mata sentiasa berada dalam keadaan baik.
Sumber : myhealth.gov.my