Tonton final Piala FA di Johor pun meriah

Kongsikan Artikel ini


KLUANG: Enam lokasi layar besar disediakan oleh UMNO Bahagian Kluang untuk menonton perlawanan akhir Piala FA antara pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC malam ini.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Md. Norhalim Md. Amin berkata, layar besar itu bagi membolehkan orang ramai khususnya penyokong pasukan JDT untuk merasai debaran perlawanan akhir walaupun tidak dapat turut serta di Stadium Bukit Jalil.

Usaha itu juga sebagai tanda sokongan warga Kluang terhadap pasukan JDT yang gah di persada Liga Super ketika ini.

“Lokasi layar besar berkenaan adalah di Kampung Tengah, Jalan Sawi, Jalan Orked, Kampung Baru, Kampung Melayu dan Dataran Tasek Putih.

“Bagi menarik kedatangan orang ramai menonton perlawanan akhir pada malam ini, pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan seperti kuiz berkaitan pasukan JDT serta Liga Super,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Md. Norhalim yakin JDT mampu menewaskan Terengganu, sekali gus membawa pulang Piala FA ke Johor pada tahun ini.

Sementara itu di Pekan Renggam, Persatuan Anak-Anak Muda Renggam turut menyediakan layar besar untuk memudahkan penduduk di pekan kecil itu menonton perlawanan akhir Piala FA malam ini.

Pengerusinya, Azmi Matar berkata, turut disediakan kepada orang ramai yang datang adalah cabutan nombor bertuah serta burger percuma selain pelbagai aktiviti sepanjang perlawanan berlangsung. – UTUSAN ONLINE





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *