Mohammad (kiri), Norazlinah (tengah) dan Chong (kanan).
KOTA KINABALU – Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Warisan menjadi ahli politik pertama mengumumkan keluar parti menerusi video TikTok.
Video satu minit 26 saat itu menunjukkan tiga Adun – Norazlinah Arif (Kunak), Mohammad Mohamarin (Banggi) dan Chong Chen Bin (Tanjong Kapor) – membuat kenyataan bersama.
Norazlinah berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira hala tuju parti serta pandangan dari akar umbi di kawasan masing-masing.
“Setelah meneliti pelbagai aspek dari semua sudut dan pertimbangan, kami dengan ini mengisytiharkan keluar daripada Warisan dan memilih untuk berkhidmat sebagai Adun bebas, menyatakan sokongan kami kepada kerajaan negeri Sabah di bawah Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri.
“Kami berharap dapat meneruskan perkhidmatan kami kepada orang ramai yang kami wakili dan kami ingin mengucapkan terima kasih dan memohon maaf kepada presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, rakan-rakan dan penyokong parti,” katanya dalam video itu.
Norazlinah berkata keputusan mereka juga bermakna mereka melepaskan semua jawatan dalam Warisan di peringkat Bahagian atau Majlis Tertinggi.
“Kita lihat sudah tiba masanya untuk polemik politik dan tindakan yang memburukkan kerajaan dihentikan,” katanya.
Bekas ketua Wanita Warisan itu pada 16 Jan menafikan dakwaan beliau akan meninggalkan Warisan.
Dia juga menafikan menandatangani akuan berkanun (SD) untuk menukar parti sebagai isu yang menjadi tular.
Warisan sebelum ini mempunyai 19 Adun selepas enam daripada parti menyatakan hasrat untuk keluar.
Adun yang keluar sebelum ini ialah Datuk Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik), Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Mohamaddin Ketapi (Segama), Datuk Peter Anthony (Melalap), Datuk Juil Nuatim (Limbahau) dan Rina Jainal (Kukusan). .
Sumber dipetik:
sinardaily[dot]my