Tuah hujan Suzuka milik Verstappen

Kongsikan Artikel ini


SUZUKA, Jepun – Pelumba utama Red Bull, Max Verstappen menepati ramalan dengan merekodkan kemenangan dramatik pada Grand Prix (GP) Jepun sekali gus dinobatkan sebagai juara dunia Formula Satu (F1) musim ini.

Pada perlumbaan di Litar Suzuka itu, Verstappen yang memulakan aksi di petak hadapan sedikit terjejas apabila saingan terpaksa dihentikan seawal pu­singan kedua apabila kemala­ngan melibatkan Carlos Sainz dan Alex Albon ekoran faktor hujan lebat.

Selepas ditangguhkan lebih satu jam 30 minit, aksi diteruskan dengan perlumbaan menggunakan format masa apabila 40 minit diberikan yang menyaksikan pelumba berjaya menamatkan saingan 28 pusingan sahaja berbanding 53 pusingan sepatutnya.

Sepanjang perlumbaan, Verstappen tidak mempu­nyai masalah untuk mendominasi perlumbaan dengan meraih tempat pertama dan seteru utama­nya dari Ferrari, Charles Leclerc berada di tempat kedua dan Sergio Perez melengkapkan kedudukan podium.

Namun, nasib malang me­nimpa Leclerc apabila menerima hukuman penalti lima saat apabila jentera dipandunya terkeluar dari trek sekali gus jatuh ke kedudukan ketiga dengan pasukan Red Bull menyambar keputusan 1-2.

Situasi tersebut memboleh­kan Verstappen mengekalkan kejuaraan dunia selepas me­ngutip 366 mata ketika saingan musim ini masih berbaki empat perlumbaan di Amerika Syarikat, Mexico, Brazil dan Emiriyah Arab Bersatu.

Pelumba Belanda itu meng­akui terkejut dengan keputusan bergelar juara dunia selain meng­anggap kejayaan mempertahankan kejuaraan adalah hasil kerja keras pihak pengurusan dan pegawai teknikal di belakang tabir.

“Ini adalah hari yang cukup ‘gila’ yang mana emosi saya bercampur baur. Menang pada perlumbaan GP Jepun memberikan perasaan yang luar biasa, ditambah pula dengan pengesahan bergelar juara dunia.

“Apa yang berlaku adalah di luar jangkaan, tetapi saya percaya ini adalah hasil kerja keras semua pihak bagi memastikan pasukan dapat memberikan ­prestasi yang terbaik.

“Jika ditanya kejuaraan mana yang lebih istimewa, sudah tentu yang pertama kerana ia cukup beremosi, manakala kejuaraan tahun ini menyaksikan pasukan tampil lebih dominan berban­ding pesaing,” katanya. – AGENSI





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *