TAWAU – Enam anggota polis dan seorang orang awam dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh pemandu e-hailing bulan lalu di sebuah ladang kelapa sawit di Tawau.
Anggota polis itu Rosdi Rastam, 44, Dennis Anak Enit, 44, Fabian Anak Rungam, 43, Khairul Azman Bakar, 47, Mohd Azlan Sakaran, 39; dan seorang awam Vivien Fabian, 34, didakwa membunuh Nurman Bakaratu, 61 berhampiran Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5, Tawau antara 7.30 malam dan 11.30 malam pada 13 Jan lepas.
Seorang pegawai kanan polis Datuk Mat Zaki Md Zain, 58, didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 302 kanun sama, kedua-duanya membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Enam tertuduh lain didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dzul Elmy Mohd Yunus kerana pembunuhan terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, dan mahkamah menetapkan 11 April untuk sebutan semula.
Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad, Khairul Azreem Mamat, Muhammad Ilmami Ahmad, Rohaiza Abdul Rahman dan Mohammad Fakhrurazzi Ahmad Salim.
Peguam Kamarudin Mohamad Chinki dan Timothy Daut mewakili Rosdi; peguam Chen Wen Jye, Ram Singh, dan Kimberly Ye mewakili Khairul Azman manakala lima tertuduh lain tidak diwakili.
Sementara itu, tiga lagi individu yang dihadapkan ke mahkamah berhubung kes itu telah diberikan bon mahkamah untuk kembali sebagai saksi pendakwaan iaitu orang awam Shim Vui Nyen dan anggota polis Usman Lanaga dan John Kennedy Sanggah.
Pada 30 Jan lepas, Nurima Juli, 33, seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret yang sama atas pertuduhan membunuh Nurman. – BERNAMA
Sumber dipetik:
sinardaily[dot]my