ALOR SETAR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil enam pihak bagi membantu siasatan berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang (HSK), Sik.
Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap bagaimanapun enggan mendedahkan identiti mereka yang dipanggil kerana siasatan masih dijalankan.
“Kami memulakan siasatan apabila menerima maklumat berhubung kes itu. SPRM telah menjalankan tindakan awal dengan menemu bual lima hingga enam pihak bagi membantu siasatan ke atas REE.
“Buat masa ini, kami tidak dapat mengumumkan keputusan dan tidak mempunyai sebarang keputusan atau cadangan untuk diberikan kepada kerajaan negeri,” katanya ketika ditanya perkembangan kes kecurian REE di Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik.
Beliau berkata Jawatankuasa Pemantauan REE negeri Kedah juga mengadakan mesyuarat minggu lepas bagi membincangkan isu berkaitan REE dan menjangka mendapat maklum balas daripada setiap agensi yang mungkin terlibat dalam perkara itu pada Isnin (20 Feb).
“Apabila isu REE timbul, SPRM telah mencadangkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) untuk mengaktifkan jawatankuasa itu bersama-sama Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus (JITU) dengan memanggil agensi berkaitan untuk tindakan dan perbincangan.
“Antara agensi yang dikenal pasti ialah Jabatan Perhutanan, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Alam Sekitar, Syarikat Air Darul Aman (SADA) dan mungkin beberapa agensi lagi akan ditambah selepas ini,” katanya.
Media baru-baru ini melaporkan 52 individu ditahan Jabatan Perhutanan negeri Kedah selepas dipercayai menjalankan aktiviti penerokaan REE secara haram di kawasan hutan simpan itu.
Dalam perkembangan lain, Shaharom Nizam berkata mereka tidak menemui sebarang unsur jenayah dalam siasatan mereka berhubung dakwaan penyelewengan dana bantuan pakej rangsangan ekonomi yang dikaitkan dengan seorang Exco kerajaan negeri Kedah sebelum ini.
“… Kami telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri untuk membuat penambahbaikan dalam prosedur berkaitan penyampaian bantuan itu. Siasatan kes itu telah selesai,” katanya ketika ditemui pada majlis persaraannya.
Shaharom Nizam, yang mula berkhidmat di SPRM pada 1992, akan bersara wajib esok selepas berkhidmat selama lebih 30 tahun. – BERNAMA
Sumber dipetik:
sinardaily[dot]my